
IPOH: Semua barangan peribadi milik jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida, termasuk tiga kenderaan mewah, akhirnya terjual dalam sesi lelongan yang berlangsung pada Khamis dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1 juta.
Proses lelongan yang diadakan di kediaman beliau di Meru Heights bermula sekitar pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.40 petang.
Hanya dua individu tampil sebagai pembida, kedua-duanya merupakan usahawan.
Namun, selepas seorang daripadanya menarik diri, kesemua barangan yang disenaraikan berjaya dimiliki oleh seorang lagi pembida, Norzamri Abdullah.
Antara aset yang menjadi rebutan termasuk tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire, Toyota Grand Hiace dan BMW X7, selain 727 barangan dalam rumah seperti set sofa, meja makan, televisyen, penghawa dingin, teleskop, gitar elektrik, piano, set karaoke, meja pool, serta pelbagai barangan hiasan lain.
Pelelong berlesen, S. Punithawathi mengesahkan semua barangan sitaan itu berjaya dijual kepada pembida tersebut dengan bidaan akhir bernilai RM1 juta.







