
KUALA TERENGGANU: Majlis Menteri Besar SG4 yang merangkumi Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan semua sumber mineral nadir bumi (REE) dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Majlis itu berkata, gabungan empat negeri ini mewakili 70 peratus sumber REE terbesar negara dan komited memastikan kekayaan bumi diurus secara bertanggungjawab, lestari serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan generasi akan datang.
Menurut kenyataan SG4, setiap negeri kini melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE yang diselaraskan bersama.
“Pelan ini merangkumi eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan. Mineral kritikal ini kekal di SG4 dengan menarik penyertaan pihak industri serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Majlis itu juga menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia melalui rantaian nilai yang menyeluruh.
SG4 menegaskan sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri pemilik sumber dan tidak boleh dijalankan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.
“SG4 terbuka bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati. Namun pengalaman lampau berhubung royalti minyak tidak boleh berulang dalam konteks industri REE. Pembahagian hasil perlu berdasarkan ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan seimbang,” katanya.
Majlis itu berpandangan pembangunan industri REE negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat.
Selain royalti, hasil negeri perlu melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi kepada negeri dan rakyatnya, tegas SG4.
SG4 menyeru sebarang pelan pembangunan REE peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan melibatkan wakil negeri dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.





