SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2 juta bagi menyokong pembangunan dan pemerkasaan seni mempertahankan diri negara sekali gus membuktikan komitmen mengangkat warisan bangsa sebagai elemen pembinaan jati diri dan keselamatan nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tersebut sebagai sokongan strategik kepada usaha memperkasa seni mempertahankan diri tempatan, yang bukan sahaja bernilai dari sudut kebudayaan dan sukan malah berperanan sebagai benteng pertahanan ketiga negara.
Pertubuhan Lima Generasi Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan untuk kepercayaan yang diberikan, sambil menyifatkan peruntukan itu sebagai pemangkin kepada pembangunan seni tempur negara secara profesional.
Pengasas dan Presidennya, Datuk Abdullah Ghani Kassim berkata, dana berkenaan akan dimanfaatkan secara berfokus dan berimpak tinggi, meliputi pembangunan atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan serta usaha memperluas promosi seni mempertahankan diri tempatan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Peruntukan ini membolehkan kami menaik taraf prasarana latihan, menyediakan peralatan asas, memperluas kapasiti gelanggang serta memperkukuh laluan pembangunan atlet bagi melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia secara berperingkat,” katanya dalam Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di sini semalam.
Majlis berkenaan merupakan penganjuran sulung Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, tercetus daripada Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu dan direalisasikan melalui sokongan dana khas Perdana Menteri.
Pertubuhan tersebut turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, mengenai usaha kerajaan memperluaskan pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara, termasuk menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Katanya, langkah itu selari dengan matlamat jangka panjang untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan bangsa.
Sebagai tanda penghargaan kepada penggiat seni mempertahankan diri negara, majlis berkenaan menyaksikan penyampaian enam kategori anugerah utama.
Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan menerima insentif RM70,000 setiap satu, iaitu Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Pertubuhan Silat Pusaka Hanafi, Sendo Martial Art (Gayong Cikgu Sazali), Awang Daud Martial Art, Gayong Makrifat (Panglima Aduka) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Fattani Antarabangsa (Dr. Aziwahija Yeop).
Anugerah Jasa Silat pula diberikan kepada lima tokoh yang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, iaitu Profesor Dr. (Hc) Abd. Ghapar @ Jebat Datuk Dr. Raja Abd. Majid, Tuan Guru Muhammad Wahab, Tuan Guru Ruzaidi (Wak Didi), Tuan Guru Shamsunputra Datuk Dr. Raja Abd. Majid dan Cikgu Al Jufferi Jamari, dengan setiap penerima menerima insentif RM10,000.
Bagi kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda, tiga atlet Muay Thai negara iaitu Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor masing-masing menerima insentif RM10,000 bagi kejayaan di peringkat antarabangsa.
Anugerah Emas Sukan SEA pula dianugerahkan kepada enam atlet negara yang menyumbang pingat emas kepada Malaysia, melibatkan atlet silat Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Izzul Irfan Marzuki dan Nursyafiqah Hamzah, serta atlet Muay Thai Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, Wassof Rumijam dan Angie Yan Jia Chi, masing-masing menerima RM5,000.
Pengiktirafan kepada jurulatih disampaikan menerusi Penghargaan Jurulatih Silat Negara kepada Mohd. Fauzi Khalid, Siti Rahmah Nasir dan Nor Hamizah Abu Bakar, yang masing-masing menerima insentif RM5,000.
Bagi memperluas jangkauan seni persilatan dalam kalangan generasi muda, Anugerah Duta Silat turut dianugerahkan kepada Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi bagi peranan mereka mempopularkan silat melalui medium seni dan budaya dengan setiap penerima menerima RM10,000.
Majlis Apresiasi Pendekar Negara ini menandakan fasa pertama pelaksanaan inisiatif penghargaan dan pembangunan seni mempertahankan diri negara, dengan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia komited bekerjasama rapat bersama kerajaan serta semua pemegang taruh bagi memastikan kesinambungan warisan dan kecemerlangan seni tempur tanah air.
