
PADANG RENGAS: Negeri-negeri pembangkang akan turut menerima kelebihan daripada Kerajaan Pusat dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ini bermakna Kerajaan Pusat tidak meminggirkan negeri-negeri pembangkang dan sentiasa terbuka menyelesaikan isu yang dibangkitkan.
” (Ia boleh dilihat melalui) tindakan terbaru kerajaan yang menunjukkan pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengetepikan empat negeri pembangkang (SG4),” katanya dalam Majlis Iftar Perdana serta serahan sumbangan Kasih Madani Aidilfitri peringkat Parlimen Padang Rengas, semalam.
Majlis itu turut dihadiri bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Tambah Muhammad Kamil, dalam hal ini pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menyalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan kepimpinan mereka yang semakin tidak relevan.
Sementara itu, ketika mengulas kenyataan Presiden Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau yang mendakwa pembelian 30 pesawat buatan AS berkemungkinan sebagai pertukaran bagi membolehkan Anwar bertemu dengan Presiden AS, Donald Trump, Muhammad Kamil memberitahu pembelian pesawat baharu Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dilaksanakan mengikut prosedur serta terma ditetapkan dan tidak perlu dipersoalkan.
“Proses pembelian kapal terbang ini memakan masa selain perlu diselaras mengikut harga dan sebagainya. Cuma, baru-baru ini ia dipersetujui oleh semua pihak.
“Sebelum ini pun memang dasar dan pendekatan kita menggunakan pesawat Boeing ini. Jadi, apa masalahnya dan tidak timbul isu pembelian pesawat ini ada kepentingan tertentu termasuk untuk (Perdana Menteri) jumpa Presiden AS,” katanya.
Pada 22 Mac lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, pembelian pesawat itu adalah pelaburan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.
Menurut Tengku Zafrul, langkah itu turut menyokong operasi Boeing Composites Malaysia (BCM), yang menghasilkan struktur pesawat Boeing di Malaysia dan mempunyai kira-kira 1,000 pekerja rakyat tempatan setakat ini.






