
KUALA LUMPUR: Sebanyak 89 projek perumahan swasta telah berjaya dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.48 bilion dalam tempoh dua bulan ini menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan tujuh projek sakit kembali lancar.
Beliau berkata sehingga 28 Februari, TFST telah mengesan dan memantau 230 projek perumahan swasta lewat, 347 projek perumahan swasta sakit dan 116 projek perumahan swasta terbengkalai melibatkan GDV RM107.04 bilion.
Katanya, sebahagian besar pemulihan projek-projek yang dilaksanakan dinbawah Inisiatif Belanjawan 2023 akan berjaya memperoleh Sijil Layak Menduduki (CFO) atau CCC tahun ini melibatkan 13 projek.
“Bagi memenuhi obligasi sosial KPKT, beberapa projek perumahan swasta terbengkalai menggunakan peruntukan pembangunan pada 2025 dengan kerjasama agensi pelaksana di peringkat negeri akan terus dipergiatkan.
“KPKT juga akan memohon agar peruntukan ini dapat dipertimbangkan lagi bagi projek-projek yang menepati kriteria pada 2026 kelak.
“Melalui inisiatif Kerajaan MADANI ini, diharapkannagar lebih banyak pembeli teraniaya dapat dibantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan terus memantau pemulihan projek perumahan dengan lebih terperinci memandangkan ia merupakan inisiatif yang memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
KPKT sedia bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan serta sentiasa komited menangani masalah projek sakit dan
terbengkalai di seluruh negara bagi menjayakan agenda utama KPKT demi kesejahteraan para pembeli rumah yang terjejas, katanya.