
KUALA LUMPUR : Syarikat Jakel Tradings Sdn Bhd (Jakel Trading) mengakui pernah mempertimbangkan hasrat untuk membawa kes keengganan pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berpindah ke mahkamah.
Hal itu didedahkan Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel ekoran tiada kesepakatan diperoleh selepas perbincangan selama lebih 10 tahun tidak menemui penyelesaian membabitkan membabitkan tanah di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur itu.
Beliau berkata rancangan mereka adalah untuk memfailkan saman terhadap jawatankuasa pengelola kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kerana tempoh 11 tahun digunakan bagi mencari penyelesaian yang diharapkan.
Bagaimanapun, katanya syarikat membatalkan rancangan dan menerima nasihat diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
“Kami menunggu selama 11 tahun dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap jiran kami (Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman) tetapi dihalang oleh Zaliha yang berkata ini akan menjadi isu perkauman yang besar.
“Dia mencadangkan saya berjumpa terus dengan perdana menteri,” katanya semasa berucap di majlis pecah tanah Masjid Madani di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah, hari ini.