
KUALA LUMPUR: Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
Menurut KPM, kes berkenaan kini menjadi keutamaan pihaknya dan berharap agar siasatan secara telus serta menyeluruh dilaksanakan.
“KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat,” katanya.
Terdahulu media melaporkan PDRM telah menubuhkan satu pasukan petugas khas dari Bukit Aman yang akan mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarham Zara.
Pasukan itu terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) digerakkan ke Kontinjen Sabah.






