KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mencadangkan penubuhan ASEAN Skills Clearing House, sebuah pusat penyelarasan kemahiran serantau bagi mengiktiraf standard kemahiran secara rentas sempadan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Cadangan tersebut disuarakan Menteri KESUME, Steven Sim dalam ucapannya semasa Persidangan TVET ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Steven, keperluan terhadap kemahiran semakin mendesak dalam era Revolusi Industri 4.0, dan pengiktirafan bersama antara negara ASEAN akan membuka ruang kepada pergerakan tenaga mahir yang lebih bebas serta memperkukuh pasaran buruh berkemahiran tinggi di rantau ini.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mewujudkan satu pihak berkuasa serantau yang dapat menyelaras pengiktirafan rentas sempadan terhadap standard kemahiran dalam ASEAN,” katanya.
Steven turut mencadangkan Majlis TVET ASEAN yang sedia ada diperkasa untuk memainkan peranan lebih besar dalam penyelarasan standard kemahiran dan pensijilan di peringkat serantau.
Katanya, Malaysia kini dalam proses meminda undang-undang berkaitan pembangunan kemahiran untuk membolehkan kelayakan TVET diiktiraf pada tahap yang lebih tinggi daripada siling semasa, iaitu diploma lanjutan.
Usaha ini merangkumi pengiktirafan bagi tahap perunding dan pakar, bagi memenuhi standard ketat di peringkat serantau mahupun global.
“Tiada sebab mengapa pakar-pakar kita tidak boleh menyumbang kepakaran mereka di seluruh rantau ini,” ujar beliau.
Beliau berkata, bagi merealisasikan pasaran kemahiran ASEAN, pelaburan dalam pendidikan kemahiran perlu ditingkatkan. Ini termasuk kerjasama strategik antara negara anggota dalam berkongsi sumber latihan dan pembangunan modal insan.
Menurutnya, kerajaan Malaysia membelanjakan RM10 bilion (AS$2.4 bilion) setiap tahun untuk TVET dan pendidikan kemahiran.
Jika jumlah ini dijadikan purata untuk seluruh ASEAN, perbelanjaan keseluruhan dianggarkan mencecah RM100 bilion (AS$24 bilion) setahun.
“Setiap negara mempunyai kekuatan dan kepentingan tersendiri, namun tiada halangan untuk memperkukuh kerjasama melalui perkongsian sumber dan kepakaran,” katanya.
Steven turut memaklumkan dua bulan lalu, Malaysia melancarkan membuka Minggu Latihan Kebangsaan kepada warga ASEAN, menawarkan lebih 72,000 kursus latihan percuma bernilai RM400 juta, yang menarik penyertaan 3.5 juta peserta.
Beliau menegaskan visi Malaysia adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai rantau berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global, dengan tenaga kerja seramai 700 juta orang yang berkongsi budaya, tradisi dan bahasa.
