
KUALA LUMPUR: UKM Specialist Centre (UKMSC), sebuah pusat kepakaran milik penuh UKM Holdings yang beroperasi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melaksanakan pembedahan implan koklear pintar pertama di Malaysia menggunakan sistem terkini, Nucleus Nexa Cochlear Implant System.
Prosedur itu dilakukan pada 30 Julai lalu, diketuai oleh Prof. Dr. Goh Bee See, Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) UKMSC.
Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat pasukan Implan Koklear HCTM, yang melibatkan pelbagai pakar termasuk pakar bedah ENT, pakar audiologi, ahli terapi pertuturan, pakar pediatrik, radiologi serta tenaga profesional kesihatan lain yang memberikan rawatan menyeluruh daripada peringkat diagnosis hingga ke fasa pemulihan.

“Ini bukan sekadar memulihkan pendengaran, tetapi memulihkan hubungan, komunikasi dan keyakinan diri.
“Dengan teknologi seperti ini, kami menetapkan piawaian baharu dalam penjagaan pendengaran di Malaysia,” ujar Bee See, yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan UKM.
Pembiayaan bagi prosedur ini turut dibantu oleh One Hope Charity & Welfare bersama keluarga pesakit.
Perjalanan teknologi implan koklear di Malaysia bermula sejak tahun 1995, diperkenalkan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim, tokoh ENT yang membuka jalan bagi rawatan pemulihan pendengaran di negara ini.
Bersama beliau ialah Prof. Datuk Dr. Abdullah Sani Mohamed, serta dua tokoh dari Jabatan Audiologi dan Sains Pertuturan UKM (kini Fakulti Sains Kesihatan), Prof. Dr. Siti Zamratol-Mai Sarah Mukari dan Prof. Dr. Kartini Ahmad.
Mereka melakar sejarah dengan kejayaan pembedahan implan koklear pertama Malaysia pada 14 Disember 1995, satu pencapaian penting bagi negara dan rantau ASEAN.
Implan koklear pintar yang digunakan kini hadir dengan ciri kecerdasan buatan yang canggih, termasuk keupayaan naik taraf perisian, memori terbina dalam, pemproses bunyi yang lebih ringan serta jangka hayat bateri yang lebih lama. Ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada pesakit, tetapi turut meningkatkan kecekapan dan prestasi pendengaran berbanding generasi sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi UKMSC, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pencapaian itu sebagai satu refleksi kepada misi UKMSC.
“Kami berpegang kepada pendekatan holistik, menggabungkan teknologi terkini dengan penjagaan yang etikal dan penuh dedikasi demi kesejahteraan pesakit,” katanya.

Pesakit pertama yang menjalani prosedur ini, Jayden, kini menunjukkan perkembangan positif dan berada di bawah pemantauan rapi pihak UKMSC.
Dengan pengaktifan pemproses implan pintar pada telinga kirinya, dia dijangka mencapai tahap pendengaran yang lebih baik dalam masa terdekat.






