KUALA LUMPUR: Tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu perkara itu berdasarkan hasil siasatan jawatankuasa siasatan kematian pegawai kadet itu.
Katanya, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan dari 27 Julai hingga 2 Ogos selain ia dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.
“Malah jurulatih yang mengendalikan latihan memberi keterangan bahawa semua aktiviti mematuhi piawaian keselamatan.
“Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kota Tinggi juga mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham dan dapatan ini selari dengan hasil siasatan pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tahun 2025 di Wisma Perwira, di sini, hari ini.
Mangsa, Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (PULADA), Skudai, pada 28 Julai lalu.
Tambah Mohamed Khaled, kejadian berlaku pada hari kedua sesi latihan berjalan iaitu semasa mangsa menjalani latihan inokulasi tempur disertai lebih 30 pelatih serta jurulatih.
“Dia keluar daripada situ (latihan), itu yang dia dalam keadaan-keadaan yang membawa kepada dia akhirnya meninggal dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata laporan perubatan mengesahkan semua bantuan awal diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Punca sebenar kematian akan diketahui selepas laporan penuh bedah siasat terperinci diperoleh daripada pihak hospital, dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan sebelum dapat mengesahkan Ponca sebenar kematian.
“Pada masa ini masih menunggu analisis makmal,” katanya.
Mohamed Khaled berkata hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah, bagaimanapun pihak ATM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis jika siasatan mendapati bukti baharu yang menunjukkan keadaan sebaliknya.
