KUALA LUMPUR: Sebanyak 31 kes buli dilaporkan berlaku di universiti awam dari 2014 hingga 2025, membabitkan kes berbentuk buli fizikal dan siber.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurangnya pengawasan ibu bapa.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil beberapa langkah untuk mengatasi gejala buli serta mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di semua universiti awam secara menyeluruh termasuk penerapan budaya ‘zero tolerance’ terhadap buli.
“Selain itu, mekanisme sistem pelaporan kes buli, penambahbaikan sistem keselamatan kampus melalui pemasangan kamera litar tertutup yang lebih meluas dan pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan buli,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, semalam.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai langkah diambil KPT bagi mengekang kejadian buli di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta.
Dalam pada itu, Zambry turut menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi berhubung perkembangan kes kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin, yang mana ia dalam proses siasatan.
“Saya melawat keluarga Allahyarham dan saya dengar sendiri daripada ibu beliau menceritakan tentang keadaan anaknya. Beliau (ibu Syamsul Haris) telah memohon secara rasmi supaya dibuat semula siasatan,” katanya.
Zambry berkata, Kementerian Pertahanan telah mewujudkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan laporan lengkap dibuat segera.
Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan PALAPES UTM di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor pada 28 Julai lepas.
Sementara itu, Zambry menegaskan tiada sebarang diskriminasi terhadap mana-mana individu termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang memenuhi kelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Katanya, dasar kementerian jelas dalam menjamin hak OKU untuk melanjutkan pelajaran termasuk menyediakan prasarana asas yang diperlukan di IPT.
Zambry menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai seorang pelajar OKU yang dikatakan disekat peluang untuk memasuki universiti awam walaupun telah membuat permohonan menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
