KUALA LUMPUR : Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan perjanjian konsesi bagi pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span (WISE) masih belum berkuat kuasa, selagi syarikat konsesi belum memenuhi syarat-syarat awal yang telah ditetapkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan antara syarat utama yang perlu dipenuhi syarikat terbabit termasuklah pembuktian sumber pembiayaan projek, serta penyediaan tiga laporan penting: Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA).
Beliau berkata, projek WISE kini berada pada peringkat memenuhi syarat yang dipersetujui, dan proses pengambilan tanah hanya akan dilaksanakan selepas perjanjian konsesi berkuat kuasa.
“Tambah beliau, projek ini akan melibatkan pengambilan kira-kira 1,600 lot tanah, dengan anggaran kos mencecah RM618 juta,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas – Kuala Kangsar) yang meminta penjelasan mengenai kelewatan penyediaan laporan tinjauan tanah untuk pembinaan lebuh raya berkenaan selain ingin mengetahui langkah-langkah yang diambil bagi memastikan proses pengambilan tanah serta permulaan pembinaan tidak mengalami kelewatan.
Mengulas lanjut, Ahmad memaklumkan bagi melaksanakan pengambilan tanah, syarikat konsesi perlu mengikuti prosedur di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, termasuk pewartaan di bawah Seksyen 4 untuk tujuan pembekuan koridor.
“Dalam hal ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membantu memudah cara urusan syarikat konsesi dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak.
“Sebaik sahaja proses pengambilan tanah diselesaikan, pihak konsesi boleh memulakan kerja-kerja pembinaan lebuh raya,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan KKR dan LLM akan terus memantau pelaksanaan projek ini secara teliti, agar pembangunan Lebuh Raya WISE dapat disiapkan mengikut jadual dan perancangan yang telah ditetapkan.
