PUTRAJAYA: Peguam Negara hari ini gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah supaya kerajaan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum itu didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Januari tahun lalu, didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri tersebut menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara dan memerintahkan permohonan semakan kehakiman Najib dikembalikan dan meritnya didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi di hadapan hakim baharu.
Peguam Negara selaku perayu juga gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya .
Bukti terbabit ialah surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anak bekras Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar, bertarikh 4 Januari lalu yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan.
Ia ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.
Turut bersidang dalam panel mahkamah tertinggi negara itu ialahHakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan.
Najib juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Zabariah yang membacakan penghakiman panel berkata, isu sama ada Titah Adendum itu benar atau tidak adalah perkara yang boleh dihujahkan dan perlu dikemukakan pada perbicaraan substantif dalam permohonan semakan kehakiman.
“Namun pada masa ini, Titah Adendum itu wujud dan statusnya sama ada dari segi kesahannya atau kebenarannya perlu dipastikan dalam perbicaraan substantif, yang mana kami berpendapat adalah tidak wajar atau adil untuk kami menyatakan sebarang pandangan mengenainya sekarang.
“Pada peringkat ini, ia adalah isu yang memerlukan siasatan lanjut melalui pendengaran penuh hadapan kedua-dua belah pihak (inter-parte), dengan mengemukakan semua bukti dan fakta yang perlu serta semua hujahan undang-undang yang berkaitan.
“Kesimpulannya, kami membenarkan Titah Adendum ini diterima masuk sebagai bukti baharu di bawah Kaedah 7, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 dan memberikan kebenaran kepada responden (Najib) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
“Sehubungan itu, kami mengembalikan semula kes ini kepada Mahkamah Tinggi bagi didengar perbicaraan substantif dalam prosiding semakan kehakiman di hadapan hakim baharu.
“Kami tidak membuat sebarang perintah mengenai kos,” katanya.
Dengan adanya pengakuan itu, katanya, persoalan berhubung fungsi Peguam Negara dalam rayuan itu tidak lagi relevan dan kini bersifat akademik.
“Kami perlu menegaskan penghakiman di sini bukan menyatakan bahawa Titah Adendum adalah sebahagian daripada perintah pengampunan, dan kami juga tidak mengatakan bahawa ia tidak terlalu awal pada peringkat ini untuk mahkamah membuat penentuan sedemikian.
“Kedua, walaupun Titah Adendum itu wujud, ia tidak secara automatik boleh diterima masuk sebagai bukti. Responden masih perlu memenuhi peraturan dan kriteria berkaitan kemasukan titah itu sebagai bukti baharu.
“Ketiga, kewujudan Titah Adendum itu tidak secara automatik menjadikannya sah. Isu berkenaan perlu diputuskan dalam perbicaraan substantif prosiding semakan kehakiman sekiranya kebenaran diberikan,” katanya.
