KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa serangan terhadap anak lelakinya semalam ada kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankannya berkaitan sebuah skandal.
Menurut Rafizi, beliau menerima maklumat daripada sekumpulan pemberi maklumat mengenai skandal tersebut dan percaya pihak tertentu cuba memberi tekanan supaya siasatan itu dihentikan.
“Pada pandangan saya, ini adalah cubaan untuk menutup mulut saya. Maksudnya, ada sesuatu yang sedang saya selidik dan mesejnya supaya saya ‘hands off’ daripada perkara itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
“Minggu lepas, satu kumpulan pemberi maklumat datang kepada saya mengenai skandal itu, itulah yang saya boleh beritahu buat masa ini.
“Saya rasa pihak yang terlibat, sesiapa pun dalang di belakang kejadian ini, tahu bahawa ini adalah cara untuk memastikan saya berhenti menyiasat skandal tersebut,” tambahnya.
Semalam, anak lelaki Rafizi diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya sekitar pukul 1.45 tengah hari.
Rafizi menceritakan ketika anak dan isterinya hendak masuk ke dalam kereta, dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup wajah mengheret anaknya serta mencucuknya dengan jarum suntikan.
Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia untuk rawatan lanjut.
Sebagai Ahli Parlimen Pandan, Rafizi juga mendakwa pihak terbabit cuba mengugut isterinya kerana beliau sendiri tidak mudah terkesan dengan ugutan tersebut.
Beliau memaklumkan isterinya menerima mesej daripada nombor tidak dikenali pada pukul 1.12 pagi bertulis, “Diam, andai teruskan AIDS.”
Mesej yang sama bersama tiga emoji suntikan turut dihantar kepada isterinya pada pukul 11.02 pagi tadi.
“Saya sudah menyerahkan maklumat ini kepada pihak polis dan mereka telah mengenal pasti nombor telefon tersebut.
“Saya berharap siasatan ini akan dijalankan dengan lancar,” ujarnya.
Mengenai suntikan yang diterima anaknya, Rafizi berkata terdapat beberapa kemungkinan bahan yang disuntik, termasuk dadah, racun, viral hepatitis, HIV, atau mungkin suntikan kosong.
“Dalam tempoh 24 jam pertama, keutamaan adalah selain daripada ujian darah, untuk memeriksa sama ada ada suntikan dadah atau racun.
“Setakat ini, pemerhatian menunjukkan keadaan anak saya stabil dan tiada kesan segera yang dilihat,” katanya sambil memberitahu anaknya perlu menjalani ujian darah selama enam bulan akan datang.
