LOS ANGELES: Filem animasi popular Netflix, KPop Demon Hunters yang mencipta fenomena global memenangi Anugerah Golden Globe bagi Filem Animasi Terbaik.
Lagu hit filem animasi berkenaan berjudul Golden pula dinobatkan sebagai Lagu Asal Terbaik.
Filem animasi berkisar kumpulan gadis Huntr/x yang dianggotai Rummi, Mira dan Zoey menggunakan muzik untuk menyelamatkan dunia daripada kuasa jahat telah mencatat pelbagai pencapaian carta teratas sejak ditayangkan pada bulan Jun.
“Melalui filem ini, kami benar-benar mahu menggambarkan watak wanita sebagaimana kami mengenali wanita sebenar iaitu sangat kuat dan berani,” kata pengarah filem tersebut, Maggie Kang.
Seorang lagi pengarah, Chris Appelhans, yang menerima anugerah Filem Animasi Terbaik bersama Maggie menyifatkan filem itu sebagai “surat cinta kepada muzik”.
KPop Demon Hunters menewaskan Arco, Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – Infinity Castle, Elio, Little Amélie or the Character of Rain dan Zootopia 2. – agensi
