KLUANG: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan selatan akan mula beroperasi secara rasmi pada 30 Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, laluan yang terlibat melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) ke Kluang dan kembali semula ke KL Sentral.
“Orang ramai boleh mula membeli tiket bermula pukul 8 malam ini menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kiosk atau laman sesawang rasmi KTMB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan merasmikan pelancaran perkhidmatan ETS3 bagi laluan selatan dalam satu majlis khas yang diadakan di Stesen Kuala Lumpur.
Usai majlis tersebut, baginda turut berkenan memandu sendiri tren ETS3 itu menuju ke Stesen Kluang, Johor.
Tren berkenaan mampu mencapai kelajuan operasi sehingga 140 km/j.
Sebelum ini, Anthony memaklumkan dua set tren ETS3 jenis Electric Multiple Unit (EMU) yang sudah tiba di Malaysia kini menjalani ujian teknikal, dan jika semuanya berjalan lancar, perkhidmatan akan bermula dalam bulan ini.
Katanya, baki lapan set tren sedang dipasang secara berperingkat di kilang pemasangan CRRC Rolling Stock Center di Batu Gajah, Perak.
Kesemua 10 set tren dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahun depan.
