KUALA LUMPUR: Sebuah kilang stor penyimpanan wayar harness untuk kilang Perodua di Jalan Ipoh, Batang Kali musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 4.45 pagi.
Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi pada jam 5.07 pagi, disusuli pasukan bantuan dari BBP Bukit Sentosa dan BBP Rawang, dengan kekuatan seramai 26 anggota keseluruhan.
“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan kelas A berstruktur besi berkeluasan 100×80 kaki persegi. Ketika pasukan bomba tiba, api sedang marak dengan cepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.45 pagi, dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi pemadaman melibatkan pelbagai aset termasuk dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Compact Fire Rescue Tender (CFRT), dua unit Bantuan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah Water Tanker, serta satu kenderaan pacuan empat roda jenis Triton milik Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Ahmad Mukhlis turut memaklumkan bahawa kerja-kerja overhaul masih diteruskan di lokasi bagi memastikan tiada lagi sisa api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
