KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Soffi Jikan dipindahkan ke Hospital Serdang susulan masalah kesihatan yang semakin serius, menurut satu hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok @mrhasyim pada Ahad.
Menurut hantaran tersebut, Soffi kini berada dalam keadaan membimbangkan apabila disahkan mengalami jangkitan kuman pada bahagian jantung.
“Soffi Jikan dipindahkan ke Hospital Serdang, keadaan terkini agak serius. Semoga cepat sembuh abang ku, wad zac, katil 14,” tulisnya dalam perkongsian itu.
Perkembangan terbaharu itu mengundang pelbagai reaksi di ruangan komen, dengan rata-rata netizen menitipkan doa agar pelakon berkarisma itu segera diberikan kesembuhan.
Sebelum ini, akaun TikTok yang sama memaklumkan Soffi pada awalnya dirawat akibat jangkitan kencing tikus dan demam denggi.
Dia menerima rawatan selama enam hari sebelum dibenarkan pulang.
Namun, tidak lama selepas itu, dia kembali ditahan di wad selepas mengadu mengalami sakit dada, yang kemudiannya dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman yang lebih serius.
Peminat dan rakan industri seni kini menzahirkan sokongan dan doa agar Soffi Jikan kembali pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
