KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan seorang murid lelaki berlari mengejar kereta dipandu ibunya selepas tertinggal di hadapan sekolah rendah di Seri Kembangan, Selangor.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit, seorang suri rumah berusia 37 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 12 tengah hari pada 20 Ogos lalu ketika wanita itu menjemput pasangan anak kembarnya dari sekolah.
Namun, semasa membuat pusingan U, dia menyedari seorang anaknya tidak berada dalam kenderaan.
“Pengadu terus memberhentikan kenderaan selepas melihat anak lelakinya mengejar kereta dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Video berdurasi satu minit itu dimuat naik oleh sebuah akaun Facebook dengan kapsyen ‘marah anak janganlah tergamak buat sampai macam tu sekali’, yang menarik pelbagai reaksi negatif daripada pengguna media sosial terhadap tindakan ibu berkenaan.
Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.
