
IPOH: Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 45, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, menjadikan korban yang dalam perjalanan ke Perhimpunan RXZ 7.0 bertambah.
Mangsa, Roziman Abu Aziz, 36, berasal dari Baling, Kedah, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gerik selepas nahas pukul 9 pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman, siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian kanan bampar treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 44 tahun.
“Bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman di bahagian abdomen,” katanya dalam kenyataan.
Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehari sebelumnya, tiga penunggang Yamaha RXZ turut maut dalam kemalangan berasingan ketika menuju ke Perhimpunan RXZ Members 7.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu.
Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, dari Seri Kembangan, terbunuh di Kilometer 370 LPT2, berhampiran R&R Bukit Besi, selepas motosikalnya bergesel dengan motosikal lain dan tercampak ke jalan raya.
Roslinawati Ramli, 33, seorang jururawat dari Johor, maut selepas motosikalnya hilang kawalan di Kilometer 394 LPT2 berhampiran Ajil, Hulu Terengganu. Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal di lokasi.
Mohd Syukri Shahrudin, 33, eksekutif jualan dari Rembau, Negeri Sembilan, maut dalam kemalangan di Jalan Palong 8, Bera, Pahang pada jam 6.30 pagi. Motosikal RXZ yang ditungganginya dipercayai terbabas sendiri.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai, terutamanya peserta konvoi motosikal lebih berhati-hati di jalan raya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan.







