
DUNGUN: Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ maut dalam satu kemalangan di Kilometer 370, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran hentian rehat dan rawat Bukit Besi, tengah hari tadi.
Mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, berasal dari Seri Kembangan, Selangor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 12 tengah hari.
Menurut maklumat awal, mangsa menunggang secara berkonvoi bersama beberapa rakan menuju ke Gong Badak, Kuala Terengganu untuk menghadiri acara RXZ Members 7.0, sebuah program perhimpunan peminat motosikal RXZ.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bergesel dengan satu daripada motosikal rakannya, menyebabkan dia hilang kawalan dan tercampak ke atas jalan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi pihak media.
Beliau memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Dungun untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
Insiden ini menjadikan Hariz Fahmi sebagai mangsa ketiga yang maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke program perhimpunan RXZ Members 7.0.
Terdahulu, seorang eksekutif jualan Bank Islam maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Palong 8, Bera, Pahang, manakala seorang jururawat wanita turut terkorban dalam satu lagi kemalangan di Kilometer 394, LPT2 berhampiran Ajil, Hulu Terengganu, kedua-duanya juga dalam perjalanan menghadiri program sama.





