
KUALA LUMPUR: Seramai 64,618 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan merekodkan tunggakan berjumlah RM257.56 juta sehingga 31 Oktober lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, 196,115 peminjam daripada keluarga bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan pendapatan tidak melebihi RM8,000 pula mencatatkan tunggakan RM539.35 juta.
“Manakala 967,796 peminjam daripada keluarga penerima STR mempunyai tunggakan RM10.23 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai jumlah dan kadar bayaran balik pinjaman PTPTN mengikut pendapatan bulanan peminjam secara terperinci, termasuk kategori umum B40, M40 dan T20.
Mustapha berkata 911,788 peminjam daripada keluarga penerima STR telah melangsaikan pinjaman keseluruhan RM13.89 bilion.
Selain itu, 58,921 peminjam bukan penerima STR berpendapatan bawah RM8,000 menyelesaikan pinjaman RM703.45 juta, manakala 136,196 peminjam berpendapatan melebihi RM8,000 melangsaikan RM1.54 bilion.
Bagi bayaran konsisten mengikut jadual, beliau berkata 450,522 peminjam adalah daripada keluarga penerima STR (melibatkan pinjaman RM4.17 bilion), 131,396 peminjam bukan penerima STR berpendapatan bawah RM8,000 (RM697.79 juta) dan 35,324 peminjam berpendapatan melebihi RM8,000 (RM362.36 juta).
Menjawab pertanyaan mengenai pengecualian bayaran balik bagi graduan kelas pertama IPTS, Mustapha berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi sedia meneliti semula mekanisme berkenaan, memandangkan dasar semasa hanya melibatkan graduan B40 dan M40 dari IPTA bagi memastikan penyasaran bantuan lebih tepat.






