
KUALA LUMPUR: Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim bersama tiga individu lain yang ditahan kerana disyaki cuba mencetuskan rusuhan ketika majlis pecah tanah di Kampung Sungai Baru, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata keempat-empat individu berkenaan pada mulanya ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Penahanan dibuat mengikut Seksyen 105 kerana kita tidak mahu berlaku kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan.
“Kadangkala apabila sesuatu sudah berlaku barulah kita bertindak, dan ketika itu mungkin sudah terlambat. Jadi, langkah pencegahan perlu diambil,” katanya ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di IPK Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata tindakan itu susulan maklumat risikan yang diterima mengenai kemungkinan wujud ancaman terhadap ketenteraman awam sepanjang majlis pecah tanah berkenaan.
“Apa sahaja program dalam negara, sama ada dianjurkan kerajaan, pihak berkepentingan atau NGO, aspek keselamatan dan ketenteraman awam kekal menjadi keutamaan.
“Jika ada maklumat yang memberi kesan negatif kepada keselamatan, saya tidak akan berkompromi. Polis akan ambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.
Menurutnya, walaupun semua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, siasatan lanjut tetap diteruskan.
Empat individu itu ditahan pada 8.50 pagi semalam selepas polis menerima maklumat mengenai perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada jam 8 pagi di lokasi sama.
Mereka terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia 39 hingga 47 tahun.
Mereka juga didakwa memuat naik seruan mengajak orang ramai turun berprotes pada 28 November lalu menerusi TikTok, dengan tajuk ‘Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru’.






