
PUTRAJAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini memulakan penguatkuasaan penuh Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) selepas tempoh percubaan selama tiga bulan menunjukkan pengurangan ketara kesesakan di kawasan tepi jalan terminal.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Izani Ghani, berkata tempoh percubaan tersebut berjaya mengubah tingkah laku pemandu, apabila jumlah kenderaan yang berhenti lebih 10 minit di lorong menurunkan dan mengambil penumpang berkurangan daripada 50 peratus kepada 21 peratus.
Menurutnya, dapatan itu mengesahkan keperluan penguatkuasaan penuh bagi memastikan aliran trafik lebih lancar, khususnya menjelang musim perjalanan hujung tahun dan persediaan menghadap Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Data sepanjang fasa percubaan menunjukkan situasi kesesakan bertambah baik apabila pengguna mematuhi had 10 minit.
“Dengan penguatkuasaan penuh di Terminal 1 bermula hari ini, kami mahu memastikan laluan digunakan secara lebih teratur dan adil untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan.
Sistem VAMS menggunakan Pembaca Nombor Pendaftaran Kenderaan (LPR) bagi merekod masa kemasukan setiap kenderaan sebelum mengira tempoh berada di kawasan tersebut secara automatik semasa keluar.
Kenderaan dibenarkan berada di kawasan itu sehingga 10 minit, sebelum dikenakan kompaun antara RM10 hingga maksimum RM100, bergantung kepada tempoh lebihan. Pembayaran boleh dibuat melalui Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit.
MAHB menjelaskan penguatkuasaan ini penting bagi memastikan laluan menurun dan mengambil penumpang sentiasa tersedia serta aliran trafik di terminal kekal teratur.





