
KUALA LUMPUR: Sofia Rini Buyong, wanita yang dikaitkan dengan video tular perbualan bersama ahli perniagaan Albert Tei dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tempoh remannya tamat hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pembebasan itu.
“Reman tamat hari ini dan tidak disambung. Dia dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Sofia ditahan pada malam Khamis lalu selepas memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, sebelum direman empat hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh Albert Tei kepada bekas setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan telah diserahkan kepada seorang ADUN di Sabah.
Sebelum ini, Albert mendakwa Sofia adalah proksi kepada Shamsul, namun wanita itu menafikan dakwaan tersebut.
Shamsul, yang juga Pengerusi PKR Melaka, meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri pada Selasa lalu, dengan mendakwa terdapat cubaan menggunakan kontroversi berkenaan untuk menjatuhkan reputasinya serta menjejaskan imej kerajaan.





