KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan tidak pernah mencampuri urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk kes melibatkan bekas setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Akin.
Katanya, tindakan SPRM menahan serta mereman Shamsul jelas menunjukkan agensi berkenaan bebas menjalankan tugas tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“SPRM sudah panggil pegawai itu, sudah pakai baju oren dan bergari. Itu bukti jelas saya tidak campur tangan.
“Tak puas hati lagi? Saya tidak tegur sepatah pun. Saya beritahu SPRM, siasatlah secara bebas,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) mengenai kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan peletakan jawatan Shamsul sebagai tanda integriti kerajaan Madani.
Anwar turut menempelak pihak yang menyerangnya berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Shamsul, sedangkan pada masa sama mempertahankan bekas seorang menteri kewangan yang disiasat kerana memiliki harta bernilai berbilion ringgit.
“Saya cadangkan Parlimen diguna sebaik-baiknya. Jangan lindungi mana-mana perasuah,” tegasnya.
Shamsul direman enam hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan dakwaan pemberian rasuah oleh ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.
Shamsul yang juga Ketua PKR Melaka, meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri selepas mendakwa terdapat usaha menggunakan kontroversi tersebut untuk menjatuhkan reputasi dan menjejaskan imej kerajaan.
Tidak lama selepas itu, Albert dipetik sebagai mendakwa beliau menanggung kos ubah suai, perabot dan peralatan berjumlah RM629,000 bagi sebuah hartanah dikaitkan dengan Shamsul, selain beberapa barangan peribadi.
Albert juga memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp yang mendakwa Shamsul pernah meminta mata wang asing sebelum berlepas ke luar negara.
