KUALA LUMPUR: Persekutuan Antarabangsa Pemain Bolasepak Profesional (FIFPRO) mempersoalkan tindakan FIFA menggantung tujuh pemain warisan negara selama 12 bulan, menyifatkan hukuman itu ‘sangat tidak seimbang’ serta tidak mencerminkan keadaan sebenar proses kelayakan mereka.
Dalam kenyataan hari ini, FIFPRO menegaskan tujuh pemain terbabit jelas merupakan mangsa dan bukan pihak yang memalsukan dokumen kelayakan, malah FIFA sendiri mengesahkan dokumen dikemukakan kepada badan itu adalah tulen.
“Apabila seramai tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, sudah tentu isu pemalsuan tidak berpunca daripada tindakan individu.
“Pemain juga tiada saluran untuk mendapatkan pengesahan kelayakan secara individu daripada FIFA, kerana ia bukan prosedur wajib di bawah peraturan semasa,” jelas kenyataan itu.
FIFPRO turut menyuarakan kebimbangan kerana pemain dipertanggungjawabkan atas dokumen yang sebenarnya dihantar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada FIFA, seolah-olah mereka perlu mengesahkan dokumen yang bukan dikeluarkan oleh mereka sendiri.
Menurutnya, kesemua pemain telah mematuhi setiap proses ditetapkan, termasuk menyerahkan dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan serta menunggu pengesahan kelayakan daripada FAM.
“Segala urusan dikendalikan institusi di luar kawalan mereka, namun kini pemain berdepan penggantungan kelab dan kesan serius lain tanpa sebarang kesalahan.
“FIFPRO menyokong penuh pemain dan percaya Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dapat mengetepikan ketidakadilan ini,” katanya.
Pada 3 November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM serta tujuh pemain warisan berkenaan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FIFA sebelum itu mengenakan denda 350,000 franc Switzerland (sekitar RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
