PUTRAJAYA: Lebihan muatan keterlaluan serta kelemahan dalam kawalan operasi, selain ketiadaan ciri keselamatan asas pada lori ‘tipper’, dikenal pasti antara punca utama kemalangan tragik yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) turut mendedahkan penguatkuasaan yang lemah menyumbang persekitaran berisiko tinggi, sekali gus membawa kepada kejadian maut tersebut.
Ketika kejadian, lori ‘tipper’ itu didapati membawa muatan batu kerikil dengan Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kilogram (kg), iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan pada 24,000 kg.
Laporan itu yang dikeluarkan selepas lebih lima bulan kejadian turut menyatakan cadangan keselamatan kepada pihak terbabit.
“Kemalangan ini berpunca daripada gabungan faktor teknikal, manusia, organisasi, serta jurang dalam dasar dan penguatkuasaan,” menurut laporan itu.
Laporan 156 halaman itu memaklumkan lori FRU itu berada dalam kedudukan kelima daripada konvoi tujuh kenderaan iaitu empat lori, dua kenderaan utiliti sukan (SUV), dan sebuah bas, yang dalam perjalanan ke Ipoh, manakala lori ‘tipper’ itu dengan nombor pendaftaran AKL4674 dari arah bertentangan menuju ke Teluk Intan.
Laporan itu menyebut ketika kejadian, lori ‘tipper’ dipandu seorang pemandu membawa muatan batu kerikil secara berlebihan menyebabkan ia hilang kawalan dan berlaku perlanggaran dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh.
Laporan itu turut menjelaskan tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng, sebaliknya kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan, termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta tiada Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang berfungsi.
Pasukan petugas khas juga mendapati rekod rasmi lori ‘tipper’ membawa muatan batu kerikil dengan BDM sehingga 40,960 kg, melebihi had dibenarkan, bukan sahaja menyalahi Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor, juga secara langsung menjejaskan prestasi pemanduan kenderaan.
Ia berikutan pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya kerana meningkatkan tenaga menjadikan daya impak semasa perlanggaran jauh lebih besar, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan serius atau maut kepada pemandu dan penumpang.
“Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000 kg pada kelajuan 30 km/j menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ, manakala lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ, hampir dua kali ganda.
“Selain itu, keadaan lebih muatan turut memberi kesan langsung terhadap keupayaan membrek dan kestabilan kenderaan, terutamanya apabila pemandu berdepan dengan situasi kecemasan,” menurut laporan itu lagi.
Pada masa sama, laporan menyebut, pemeriksaan fizikal statik menunjukkan komponen tayar, brek, dan suspensi lori ‘tipper’ dalam keadaan baik, namun, fungsi stereng tidak dapat disahkan sepenuhnya kerana kerosakan teruk akibat kemalangan manakala ukuran kenderaan dan pagar kargo adalah sejajar dengan Pelan Teknikal yang diluluskan.
Lori ‘tipper’ itu juga didapati membawa muatan yang tidak mematuhi syarat, sekali gus melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, kerana kenderaan itu hanya dibenarkan membawa muatan arang batu.
Sementara MOT memberitahu sebanyak 16 syor keselamatan dikemukakan merangkumi enam bidang utama antaranya peningkatan pematuhan Kod Amalan Industri bagi Keselamatan Pengangkutan Jalan (ICOP), penambahbaikan Akta 715 serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk.
MOT menegaskan siasatan keselamatan itu tidak bertujuan menetapkan kesalahan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya untuk memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat agar tragedi seumpama itu tidak berulang.
Dalam nahas pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera selepas lori FRU yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Laporan yang disediakan secara bebas dan objektif oleh Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan atas arahan Jemaah Menteri itu boleh diakses orang awam menerusi portal rasmi kementerian bermula hari ini
