
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.
Penangguhan itu diberikan sementara menunggu keputusan rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Nov 2025, yang menolak permohonan penangguhan tersebut.
Dalam keputusan sebulat suara, Alwi berkata penangguhan itu wajar diberikan kerana pihak perayu telah membangkitkan isu-isu khusus yang perlu diputuskan oleh SCIT, sekali gus menjadi alasan yang mencukupi untuk membenarkan penangguhan berkenaan.
Beliau berkata terdapat isu-isu substantif berhubung kesilapan pengiraan jumlah cukai yang didakwa perlu dibayar berjumlah kira-kira RM1.69 bilion, termasuk cukai berganda serta perlakuan terhadap sumbangan dan dividen yang telah dikembalikan dan digunakan bagi tujuan kebajikan serta politik.
Beliau berkata responden tidak mempertikaikan perkara-perkara tersebut dari segi merit, sebaliknya berpendapat bahawa perkara berkenaan wajar diputuskan oleh SCIT.
Alwi berkata Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa pihak perayu tidak akan mengalami kemudaratan yang tidak boleh dipulihkan, berdasarkan Seksyen 111 Akta Cukai Pendapatan (ACP) yang menjamin bayaran balik bagi lebihan cukai sekiranya rayuan mereka di hadapan SCIT berjaya.
“Anggapan Pesuruhjaya Kehakiman bahawa kemudaratan yang tidak boleh dipulihkan hanya merupakan kerugian kewangan adalah satu kekhilafan,” katanya.
Beliau berkata sebaliknya, penangguhan prosiding kebankrapan tidak akan menjejaskan responden kerana LHDN, selaku ejen pemungut cukai kerajaan Malaysia, masih mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menguatkuasakan sebarang liabiliti cukai yang telah dimuktamadkan selepas pertikaian tersebut diputuskan oleh SCIT.
Alwi turut berkata mekanisme “bayar dahulu, pertikai kemudian” di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) tidak seharusnya ditafsirkan sebagai halangan mutlak di sisi undang-undang terhadap penggunaan budi bicara mahkamah.
“Ia merupakan prosedur bagi memastikan kutipan hasil, namun tidak menghapuskan bidang kuasa sedia ada mahkamah untuk campur tangan apabila kepentingan keadilan memerlukannya,” katanya
Alwi memerintahkan kerajaan Malaysia membayar kos RM30,000 setiap seorang kepada Najib dan Mohd Nazifuddin.
Prosiding kebankrapan itu berpunca daripada keputusan berasingan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap bapa dan anak itu berhubung tunggakan cukai bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.
LHDN sedang menuntut RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.
Najib dan Mohd Nazifuddin masing-masing gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan penghakiman terus tersebut.
Susulan itu, notis kebankrapan dikeluarkan terhadap mereka. Kedua-dua mereka kemudian memohon penangguhan prosiding kebankrapan, namun permohonan itu ditolak oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kamarul Aris Kamalluddin, pada 29 Julai 2024.
Mereka merayu keputusan ke Mahkamah Tinggi, namun tidak berjaya sebelum membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan. – BERNAMA






