
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggalakkan majikan sektor swasta memberi cuti tambahan kepada pekerja sempena Aidilfitri.
Dalam satu kenyataan, KESUMA berkata, cuti itu selaras dengan Akta Hari Kelepasan 1951 dan tertakluk kepada Seksyen 60D Akta Kerja 1955 yang membolehkan kerajaan mengisytiharkan hari kelepasan am.
“Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja.
“Majikan juga perlu memaklumkan kepada pekerja mengenai pengaturan cuti tambahan sama ada diberikan pada tarikh yang diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, mereka layak menerima kadar bayaran kerja seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.
Sehubungan itu, KESUMA menyeru para majikan agar mempertimbangkan pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin dan menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.
“Langkah ini diharap dapat memberi ruang kepada pekerja untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, kesejahteraan dan keharmonian bersama keluarga,” katanya.




