
GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan menyarankan perantau yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri supaya menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) serta Lebuhraya Timur-Barat (LRTB) bagi mengelak kesesakan di daerah ini.
Pengarahnya, Ir. Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, walaupun lencongan sementara di Taman Wangi sudah dibaiki dan diturap, ia bukan jaminan mampu menyelesaikan masalah kesesakan ketika musim perayaan.
Katanya, selain faktor keadaan struktur jalan, kesesakan juga dijangka berlaku berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan melalui laluan Gua Musang.
“Saya menjangkakan kesesakan akan mula berlaku pada Rabu ini kerana ada yang menjangkakan sambutan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Jumaat,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Beliau turut menasihatkan pengguna Jalan Gua Musang–Lojing supaya tidak menggunakan laluan alternatif yang dibina oleh pekebun atau pemilik tanah persendirian kerana tidak menepati spesifikasi keselamatan yang ditetapkan oleh JKR.
Katanya, penggunaan jalan yang tidak dibina mengikut piawaian boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pengguna.
Nik Badlihisham memaklumkan jalan sementara di Kilometer 45 Jalan Gua Musang–Lojing berhampiran Pos Blau dijangka siap sepenuhnya pada akhir Jun ini.
katanya, kerja-kerja pembaikan di laluan berkenaan akan bermula pada penghujung Mac dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.
Sebelum ini media melaporkan JKR menjangkakan kerja pembinaan cerun di lokasi sama akan bermula pada awal Mac.
Pada 3 Disember tahun lalu, laluan tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan struktur jalan berkenaan.





