
KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghargai usaha dan dedikasi rakyat yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penetapan tarikh cuti tambahan itu bagaimanapun tertakluk kepada tarikh pengisytiharan 1 Syawal kelak.
Beliau berkata, sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat atau 20 Mac, kerajaan akan menetapkan Isnin (23 Mac) sebagai cuti tambahan.
“Sebaliknya, kalau Hari Raya jatuh pada Sabtu (21 Mac), maka cuti tambahan adalah pada Jumaat (20 Mac),” katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sini, semalam.
Anwar berkata, keputusan kerajaan mengumumkan pemberian cuti tambahan itu lebih awal bertujuan memudahkan rakyat di seluruh negara merancang perjalanan masing-masing.
“Kita beri cuti Aidilfitri ini kerana lihat semua sudah kerja kuat pada bulan Ramadan ini, raikan Aidilfitri ini dengan penuh ceria bersama dengan keluarga tercinta,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026 selama 15 hari, bermula 14 Mac, yang meliputi tempoh tujuh hari sebelum dan tujuh hari selepas perayaan bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan.




