
TAIPING: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti secara menyeluruh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum membuat sebarang keputusan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu bagi memastikan kepentingan guru, ibu bapa dan murid terpelihara serta sesi pembelajaran tidak terjejas.
“Kita akan buat keputusan yang terbaik bagi warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak.
“Bagaimanapun, semua pihak perlu menunggu keputusan dan pengumuman akhir daripada Kabinet (mengenai bekerja dari rumah-BDR) yang dijangka dibuat pada minggu hadapan sebelum sebarang ulasan lanjut dapat diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Taiping di Taman Tasik Taiping di sini.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata ketika ini KPM masih menunggu keputusan Kabinet berhubung inisiatif BDR yang sedang diteliti kerajaan.
Terdahulu media melaporkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan KPM akan mengadakan perbincangan khusus minggu depan bagi memperhalusi mekanisme BDR termasuk PdPR dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian itu, sekiranya dasar berkenaan diputuskan untuk dilaksanakan kerajaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz turut memaklumkan pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.




