
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan sebarang pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan semasa kerajaan adalah memberi tumpuan kepada langkah jangka pendek bagi memastikan kestabilan ekonomi negara selain memantau perkembangan semasa yang berpotensi memberi kesan kepada Malaysia.
Katanya, keputusan sama ada perlu melaksanakan pakej rangsangan hanya akan dipertimbangkan sekiranya konflik di rantau berkenaan berlarutan dan memberi impak besar kepada ekonomi global.
“Saya rasa yang penting, kita masih belum mengetahui sama ada krisis di Timur Tengah ini akan berlanjutan atau tidak.
“Jika ia tidak berpanjangan, tiada keperluan untuk kita melaksanakan langkah seperti pakej rangsangan ekonomi.
“Buat masa ini, pendekatan kerajaan adalah melihat dari sudut jangka pendek bagi memastikan kestabilan ekonomi kekal terpelihara,” katanya selepas melancarkan Hari Penglibatan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan minyak di Malaysia masih berada pada tahap terkawal selepas semakan dilakukan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Katanya, bekalan produk petroleum negara dijangka mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.
Amir Hamzah berkata kerajaan turut mengambil kira peningkatan permintaan bahan api terutama ketika musim perayaan apabila lebih ramai rakyat melakukan perjalanan pulang ke kampung.
Beliau berkata, syarikat minyak mempunyai pengalaman menguruskan situasi berkenaan setiap tahun dengan mengambil langkah proaktif termasuk menambah bekalan serta menyediakan lebih banyak tangki simpanan di kawasan yang mencatatkan penggunaan tinggi.
“Pendekatan kerajaan adalah melihat kepada perancangan jangka sederhana dan panjang. Kita juga bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan bekalan tenaga terus stabil.
“Petronas serta syarikat minyak dan tenaga lain akan menambah stok sedia ada bagi menggantikan bekalan yang digunakan dalam negara,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai dan syarikat tempatan mengambil pendekatan berwaspada termasuk mengurangkan penggunaan tenaga atau barangan yang mungkin terkesan susulan ketidaktentuan pasaran global.
“Kita perlu faham kesan daripada konflik ini bukan sahaja dirasai Malaysia, malah turut memberi impak kepada negara di seluruh dunia,” katanya.
Sebelum ini, Amir Hamzah menmberitahu kerajaan menanggung subsidi bahan api sebanyak RM3.2 bilion sebulan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Daripada jumlah itu, subsidi petrol dianggarkan mencecah RM2 bilion manakala subsidi diesel sekitar RM1.2 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum ini.
Konflik di Asia Barat tercetus pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran sebelum Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu serta dron terhadap kepentingan AS dan sekutunya di rantau berkenaan.
Ketegangan tersebut turut menjejaskan pasaran tenaga global terutama di Selat Hormuz yang mengendalikan 20 peratus bekalan minyak dunia, sekali gus menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu.





