
WASHINGTON: Beberapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minyak utama Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada pentadbiran Presiden Donald Trump mengenai krisis tenaga global yang tercetus akibat perang melibatkan AS, Israel dan Iran dijangka bertambah buruk sekiranya ketegangan terus memuncak.
Menurut laporan The Wall Street Journal, amaran tersebut disampaikan dalam beberapa siri pertemuan yang diadakan di White House baru-baru ini.
Antara yang menghadiri perbincangan itu ialah CEO syarikat minyak gergasi seperti Exxon, Chevron dan ConocoPhillips yang menyuarakan kebimbangan mereka kepada Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Chris Wright serta Setiausaha Dalam Negeri, Doug Burgum.
Mereka menyatakan gangguan terhadap aliran bekalan tenaga melalui Selat Hormuz, yang merupakan laluan maritim paling penting bagi penghantaran minyak mentah dunia berpotensi menimbulkan ketidaktentuan besar dalam pasaran global sekiranya konflik berlarutan.
Selat Hormuz yang menjadi laluan kepada 20 peratus bekalan minyak dunia kini berdepan ancaman ketenteraan serta risiko keselamatan yang semakin meningkat.
Situasi tersebut turut menyebabkan harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 setong, manakala Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyifatkan gangguan bekalan semasa sebagai antara yang terbesar pernah direkodkan dalam sejarah pasaran minyak.
Penganalisis industri berpendapat amaran yang disuarakan oleh syarikat minyak utama itu mencerminkan kebimbangan sektor korporat terhadap kesan jangka panjang konflik berkenaan terhadap kestabilan ekonomi global serta rantaian bekalan tenaga antarabangsa.
Malah, ketegangan yang berpanjangan berpotensi mengakibatkan penyusutan bekalan minyak global sehingga berjuta-juta tong sehari sekali gus meningkatkan risiko kejutan harga yang lebih besar di pasaran dunia.
Dalam pada itu, pentadbiran Trump dilaporkan meneliti maklum balas yang dikemukakan syarikat-syarikat terbabit sambil meneruskan tekanan diplomatik, ketenteraan dan ekonomi terhadap Iran.
Laporan Bloomberg pula menyebut kerajaan AS menjangkakan konflik berkenaan mungkin berlarutan selama beberapa minggu lagi dengan implikasi ketara terhadap kestabilan pasaran tenaga dan pasaran saham global.







