
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober tahun lalu tidak lagi terpakai berikutan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif diperkenalkan Presiden AS, Donald Trump.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam ART ditandatangani tahun lalu, Malaysia dikenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus.
Bagaimanapun, beliau menambah, buat masa ini, tarif sementara dikenakan ke atas Malaysia adalah sebanyak 10 peratus.
“Sekarang ini dia (AS) pakai Seksyen 122 (Akta Perdagangan 1974 AS), dia (AS) letakkan Malaysia pada kadar 10 peratus.
“Jadi dalam masa lima bulan ini, dia akan review untuk pakai Seksyen 301. Seksyen 301 apa benda? Terdapat empat benda dia akan tengok.
“Ada atau tidak dumping produk kita di AS melalui akses capability yang kita ada. Kedua, ada tak kita buat pengeluaran produk yang kita hantar ke AS sebagai eksport, kita abuse tak outsource labour ni, adakah kita pakai pekerja-pekerja tidak sah ataupun bawah umur.
“Jadi banyaklah perkara dinilai melibatkan labour ini termasuk buruh paksa. Terdapat 11 kriteria melibatkan buruh paksa ini dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Johari menjelaskan, penilaian ketiga dalam menetapkan kadar tarif baharu itu adalah menyentuh soal persekitaran.
“Macam (penilaian) persekitaran (dikenakan) Eropah, AS pun ambil kira persekitaran juga, apa yang merosakkan persekitaran. Keempat, dia mahu tengok apabila sesebuah negara itu eksport barang dia, kerajaan bagi subsidi tak kepada pihak pengeksport.
“Kalau dia bagi subsidi pihak pengeksport, maknanya dia (negara itu) sudah menurunkan harga produk semata-mata mahu pastikan industri yang ada di sana, (kalau dia) melawan kita, dia akan kalah. Sebab kita bagi lebih murah. Itu tujuan dia,” katanya.
Beliau menambah, penilaian dikenakan ke atas Malaysia itu turut dilaksanakan kepada semua 60 syarikat yang berdagang dengan AS.






