
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar seorang Ketua Perunding ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengadakan rundingan lebih terperinci berhubung isu tarif timbal balik AS.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, butiran lanjut akan dibentangkan dalam mesyuarat National Geoeconomic Command Centre (NGCC) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
“MITI akan melantik seorang penjawat awam kanan berpengalaman sebagai Ketua Perunding, manakala di pihak AS pula, seorang Penolong Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bakal mengetuai rundingan berkenaan.
“Matlamat utama kita adalah untuk mengurangkan tarif. Walaupun mustahil untuk menurunkannya kepada sifar, kita berhasrat mencari penyelesaian menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MITI di sini, hari ini.
Terdahulu, Zafrul telah mengetuai delegasi Malaysia untuk bertemu rakan sejawatnya di AS bagi membincangkan isu tarif timbal balik yang dikenakan negara itu terhadap Malaysia.
Semalam, Perdana Menteri memaklumkan, Malaysia mengekalkan pendekatan sederhana dalam menyelesaikan isu tarif timbal balik yang akan dikenakan oleh AS.
Anwar juga dijangka menyampaikan kenyataan pada Sidang Khas Parlimen pada 5 Mei ini.





