
SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki hampir menjadi mangsa culik dua individu ketika berjoging di Seksyen 13, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 15 tahun pada pukul 10.42 malam tadi.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, mangsa berjoging seorang diri sebelum didatangi sebuah kereta lama berwarna kelabu dipercayai jenis Proton Saga atau Iswara yang dinaiki dua lelaki.
“Seorang daripada suspek kemudian turun dari kereta lalu mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta.
“Pengadu enggan dan bergelut dengan suspek sebelum melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pergelutan itu, remaja berkenaan mengalami luka pada pipi sebelah kanan serta di bahagian lengan kanan dan kiri.
Katanya, pengadu sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara penjara sehingga 7 tahun dan boleh dikenakan denda.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani ditalian 017-2892628,” katanya.







