
KUALA LUMPUR: 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyokong langkah kerajaan Terengganu mengharamkan jualan dan penggunaan vape di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, gabungan NGO itu turut mencadangkan supaya skop penguatkuasaan kawalan penjualan dan penggunaan vape diperluaskan ke seluruh negara bagi membendung penyalahgunaan bahan terbabit.
“Tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berupa hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.
“Kerajaan tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua penganjuran acara negeri serta tidak membenarkan iklan vape dipamerkan.
“Langkah itu meneruskan larangan sedia ada terhadap pemberian lesen penjualan vape, penguatkuasaan undang-undang kecil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dengan hukuman seperti kompaun, penyitaan dan pendakwaan di mahkamah, serta larangan terhadap iklan dan tajaan melibatkan produk vape,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataannya, gabungan NGO dengan pelbagai latar belakang termasuk kesihatan dan kemasyarakatan menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Terengganu itu yang akan berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Dalam perkembangan sama, polis juga mengesahkan penyalahgunaan vape kini berada pada tahap kritikal dan menjadi medium baharu kepada penyeludupan dadah sintetik sehingga menyebabkan Timbalan Ketua Polis Negara turut menyaran negeri mengharamkan jualannya.
Antara insiden dibangkitkan termasuk kes kematian seorang jurujual yang ditemui tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih selepas dipercayai menghisap vape dan pendedahan polis yang cecair vape kini turut dicampur bahan terlarang seperti dadah sintetik berbahaya.
Dalam masa sama, gabungan NGO turut menyambut baik kerajaan negeri menyediakan pelan peralihan tiga bulan dan latihan keusahawanan alternatif bagi membantu pengusaha serta pekerja kedai vape beralih kepada bidang yang lebih selamat.
“Inisiatif kawalan ketat ini diharap menjadi dengan semangat kemerdekaan pada Ogos nanti di negeri-negeri lain dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.






