
KUALA LUMPUR : Subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan bermula 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan memaklumkan kawalan harga telur ayam juga akan ditamatkan, manakala kadar subsidi akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa esok, sebelum subsidi dihentikan sepenuhnya.
Kata kenyataan itu, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin disebabkan kos pengeluaran yang stabil.
“Keadaan ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu, apabila bekalan telur berada pada tahap mencukupi dengan harga yang kompetitif,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menjelaskan keputusan kerajaan untuk menyasar semula subsidi telur ayam dibuat dengan mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
“Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian,” menurut kenyataan.
Kementerian turut menyatakan langkah penyasaran semula subsidi ini adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Menurut kementerian itu, hasil penjimatan boleh digunakan untuk membiayai projek tertentu bagi menjamin kesejahteraan rakyat, selaras dengan nilai-nilai madani.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan beberapa langkah intervensi akan dilaksanakan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meminimumkan impak terhadap kos sara hidup rakyat susulan keputusan berkenaan.
Antara langkah tersebut, kerajaan memberi jaminan pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.
Rakyat juga boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif menerusi inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara, termasuk di semua cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Sementara itu, KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.





