
KUALA LUMPUR: Lebih 4,000 pengunjung membanjiri Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 sejak tiga hari ia berlangsung di Axiata Arena, di sini.
Karnival itu bukan sahaja menarik minat graduan baharu, malah turut dihadiri golongan pekerja berpengalaman bagi mengambil peluang menerokai bidang pekerjaan lain.
Seorang daripada pengunjung, Muhammad Amir Fahmi Mohd Arif, 24, berkata, dia memang tertunggu-tunggu karnival itu diadakan kerana ingin segera mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Saya menetap di Melaka dan bertolak ke Axiata selepas solat Subuh. Setakat ini saya sudah serahkan resume ke beberapa syarikat.
“Karnival seperti ini amat memudahkan pencari kerja seperti saya kerana ia menghimpunkan pelbagai syarikat di satu tempat.
“Menerusi itu, kita boleh bertanya dengan lebih lanjut mengenai prospek pekerjaan yang ditawarkan sebelum membuat keputusan untuk menghantar resume,” katanya di karnival tersebut.
Karnival itu digerakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan Kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Karnival yang berlangsung sehingga 1 Mei itu menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan penglibatan 158 majikan, meningkat 53.4 peratus berbanding penganjuran tahun lalu.
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Izzatul Hawa Ghazali, 27, dari Rawang berkata, dia mengunjungi karnival itu kerana mahu mencari peluang pekerjaan yang lebih bersesuaian dengan bidang dipelajarinya di universiti.

“Ketika ini, saya bekerja dalam bidang ‘retail’ sedangkan masa di universiti saya belajar dalam bidang pemasaran.
“Jadi, sudah tiba masanya saya cari kerja yang sesuai dengan bidang saya ambil supaya boleh memanfaatkan pengetahuan dengan industri sebenar,” katanya.
Bagi Aina Maya Ramli, 50, karnival itu bukan sahaja untuk golongan graduan kerana katanya, masih ramai pekerja yang mahu mencuba nasib untuk mendapatkan pekerjaan lebih stabil.

“Karnival ini juga boleh dimanfaatkan oleh golongan pekerja berpengalaman untuk melihat potensi pekerjaan lain yang menawarkan gaji dan faedah lebih menarik.
“Saya juga ingin mencuba nasib memandangkan kontrak kerja saya bakal tamat pada Jun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Hannah Hazirah Amir Alzahari, 27, dari Kuala Lumpur berkata selepas menamatkan pengajian Association of Chartered Certified Accountans (ACCA) tahun lalu, dia kini bersemangat untuk turun padang mencari rezeki dalam bidang dipelajarinya.

“Selepas berehat seketika, saya dah bersedia untuk menempuh alam pekerjaan.
“Kalau boleh, saya mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor perakaunan dan kewangan, seperti bidang pengajian yang dipelajarinya di universiti dahulu,” katanya.






