SHAH ALAM: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM46 juta bagi proses baik pulih rumah dan infrastruktur awam yang terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sejumlah RM40 juta diperuntukkan untuk baik pulih rumah melalui peruntukan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.
Beliau berkata, RM6 juta lagi diperuntukkan bagi kerja-kerja pemulihan infrastruktur awam melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Katanya, projek baik pulih berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), Sime Darby dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Kedua-dua pihak ini akan dibenarkan memasuki tapak berkenaan mulai esok dan memulakan kerja dengan unit-unit kediaman dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian.
“Tempoh keseluruhan yang diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan ini adalah selama 24 bulan mengikut Akta 118. Bagaimanapun, saya secara peribadi telah meminta Sime Darby dan SPNB untuk mempercepatkan proses pembinaan daripada tempoh maksimum,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Kor Ming berkata, terdapat tiga kategori bagi kerja baik pulih dan pembinaan semula rumah yang terkesan iaitu rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus, rumah mengalami kerosakan 40 peratus tetapi tidak memerlukan pembinaan semula dan rumah-rumah yang mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus.
“Bagi pembinaan semula, kos siling pembinaan ditetapkan sebanyak RM300,000 seunit; bagi kerosakan 40 peratus yang tidak memerlukan pembinaan semula, kos siling bagi baik pulih sebanyak RM150,000 manakala bagi kerosakan kurang 40 peratus, kos siling adalah sebanyak RM30,000,” katanya.
