KUALA LUMPUR: Seramai 236 individu berjaya dalam temuduga kerja yang diadakan di Axiata Arena sempena Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 yang bermula sejak Isnin lalu.
Ketua Jabatan Perkhidmatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Lumpur, Ahmad Farid Ahmad Rizal berkata, sepanjang tiga hari karnval itu berlangsung, sebanyak 2,600 temuduga diadakan melibatkan 41 syarikat.

“Hasil daripada temuduga yang dilakukan, seramai 236 pencari kerja berjaya mendapatkan pekerjaan dengan syarikat berpotensi.
“Kebanyakan calon yang mendapat pekerjaan itu melibatkan golongan belia daripada peringkat permulaan sehinggalah ke tahap professional, selain ada dalam kalangan mereka merupakan graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya Ketika ditemui Ceritera di karnival tersebut, di sini hari ini.
Karnival yang berlangsung sehingga 1 Mei itu menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan penglibatan 158 majikan, meningkat 53.4 peratus berbanding penganjuran tahun lalu.
Inisiatif itu digerakkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan Kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Dalam pada itu, Ahmad Farid memaklumkan, karnival kali ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan pekerja berpengalaman yang ingin mencuba bidang kerjaya baharu.
Katanya, Perkeso menerima lebih 3,500 prapendaftaran dan sehingga kini, seramai 2,600 orang menghadirkan diri di karnival berkenaan.
“Sehubungan itu, kami mengharapkan kehadiran lebih ramai orang untuk sama-sama memeriahkan karnival ini selain berpeluang merebut peluang bekerja dengan syarikat-syarikat besar yang pastinya memberikan pengalaman kerja terbaik,” katanya.
Ahmad Farid berkata, antara syarikat besar yang mendapat perhatian daripada pengunjung adalah Proton dan Prasarana yang menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam bidang TVET.
