KUALA LUMPUR: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan menyertai program anjuran Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia, terutamanya melibatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Penolong Pegawai Tadbir Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Suzilawaty Aziz berkata, program latihan secara percuma itu melibatkan peringkat sijil dan diploma mengikut kecenderungan setiap individu.
“Institut itu menawarkan program dalam dua mod iaitu sepenuh masa dan kursus jangka pendek dalam pelbagai bidang TVET.
“Program itu dibuka kepada individu yang mungkin kurang cemerlang dalam bidang akademik, namun mempunyai minat untuk meningkan kemahiran dalam bidang TVET yang ketika ini mendapat permintaan tinggi dalam industri pekerjaan,” katanya ketika ditemui Ceritera pada Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, di sini hari ini.

Karnival itu menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan penglibatan 158 majikan, meningkat 53.4 peratus berbanding penganjuran tahun lalu.
Inisiatif itu digerakkan oleh KESUMA melalui kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Dalam pada itu, Suzilawaty berkata, program itu diadakan bagi memberi latihan kepada golongan belia yang ingin meningkatkan kemahiran kerja dan kualiti diri agar kebolehan mereka setanding dengan keperluan syarikat dan perkembangan teknologi semasa.
“Insitut Latihan Jabatan Tenaga Manusia berfungsi sebagai organisasi peneraju dalam membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing.
“Bagi program sijil, yuran pengajian dibiayai sepenuhnya manakala untuk peringkat diploma, kemudahan Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) disediakan buat pemohon,” katanya.

Antara program sijil yang ditawarkan ialah Sijil Teknologi Automotif, Sijil Teknologi Elektrikal, Sijil Teknologi Komputer Sistem dan Sijil Teknologi Kimpalan.
Program diploma pula menawarkan dua bidang iaitu Diploma Teknologi Elektrik Kuasa dan Diploma Teknologi Automotif.
Sementara itu, Suzilawaty berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan boleh mengunjungi reruai KESUMA dalam karival tersebut.
