KUALA LUMPUR: Perdana Menteri meminta majikan di seluruh negara tidak menindas dan memberikan gaji bermaruah kepada golongan pekerja.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan pekerja perlu dihormati kerana mereka adalah penyumbang terbesar dalam kemajuan negara.
“Seruan saya (kepada para majikan), amalan sombong dan tindas pekerja hendaklah dihapuskan.
“Jangan untung sendirian, berilah (gaji) yang munasabah, bermaruah kepada pekerja.
“Jika ada majikan yang fikir kalau beri kenaikan gaji minimum menjadi beban, maka sebab itu kita perkenalkan dasar gaji progresif,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Pekerja 2025 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, di sini hari ini.

Anwar menerusi ucapan itu juga berpesan kepada semua golongan pekerja supaya sentiasa bekerja dengan ikhlas dan tekun demi pembangunan negara.
Beliau berkata, perlu ada perubahan mentaliti dalam kalangan pekerja supaya usaha dan sumbangan mereka selaras dengan pembangunan negara.
“Kerjalah dengan baik dan tekun kerana negara memerlukan anda untuk pembangunan yang mampan,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Sempena sambutan Hari Pekerja 2025, turut diadakan Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs yang berlangsung sejak Isnin lalu hingga hari ini di pekarangan Axiata Arena.
Karnival yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan daripada lebih 150 majikan seluruh negara itu merupakan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
