
SEPANG: Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) sememangnya tidak asing lagi dalam industri pelancongan negara khususnya dalam pengendalian jemaah umrah dan haji.
Sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman dan sudah beroperasi sejak 2002, Andalusia terus diberi kepercayaan dan menjadi pilihan rakyat Malaysia khususnya urusan menunaikan umrah.
Seorang jemaah kelolaan Andalusia, Mohd Shukri Abdullah, 60, menzahirkan kesyukuran kerana kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Mohd Shukri yang juga seorang pesara turut menyifatkan harga yang ditawarkan Andalusia berpatutan seiring dengan kualiti perkhidmatan ditawarkan mereka.

“Andalusia merupakan syarikat yang boleh dipercayai dan terkenal sejak sekian lama dalam pengendalian umrah. Mereka sangat membantu jemaah dalam menguruskan keperluan dan persiapan yang sepatutnya.
“Saya berharap dapat menunaikan umrah dengan lancar, tenang dan sempurna,” katanya kepada Ceritera ketika ditemui pada Majlis Penutup Kumpulan Umrah Terakhir Pakej 1446H (2024/2025M) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Terdahulu, seramai 566 jemaah berangkat ke Tanah Suci melalui penerbangan terakhir pakej umrah bagi musim 1446 Hijrah bersama Andalusia.
Seorang lagi jemaah, Zauri Dollah, 57, dia tertarik dengan pakej umrah yang ditawarkan Andalusia kerana mengikut kesesuaian kewangan mereka.

“Saya berpuas hati dengan layanan baik serta perkhidmatan yang lancar bermula daripada urusan pendaftaran, kursus umrah hinggalah tiba hari untuk berangkat ke Mekah dan Madinah.
“Ssaya juga bersyukur dan gembira kerana pertama kali dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci,” katanya.
Untuk rekod, Andalusia sudah menguruskan lebih 800,000 jemaah umrah dan haji sejak ditubuhkan 23 tahun lalu.
Sementara itu, Andalusia juga menawarkan peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan umrah menerusi cabutan dalam Kempen Jelajah Impian dan Mimpi Bersama Andalusia (JIMBA).
Kempen itu membolehkan para peserta yang berdaftar berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berjumlah RM500,000 termasuk sebuah kereta dan dua motosikal.
Cabutan bertuah itu akan berlangsung selama 52 minggu sehingga 31 Disember 2025 pada setiap hari Jumaat yang disiarkan menerusi siaran langsung bermula pukul 8.30 sehingga 10 malam.







