KUALA LUMPUR: Seramai sejuta ahli kesatuan pekerja bakal menikmati diskaun pelbagai barangan keperluan yang ditawarkan oleh lebih 100 syarikat menerusi inisiatif Kad Pekerja MADANI.
Antara syarikat yang menawarkan diskaun itu adalah AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zuss Coffee, SOCAR dan Bateriku.
Pengumuman penggunaan kad tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan amanat Hari Pekerja 2025 Peringkat Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.

“Kad Pekerja MADANI boleh meringankan beban semua ahli kesatuan dalam mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian, termasuk makanan dan minuman.
“Diskaun dan kemudahan yang diberikan merupakan pengiktirafan kepada golongan pekerja,” katanya.
Terdahulu, Anwar meminta semua majikan di seluruh negara menghormati para pekerja dan memberikan gaji bermaruah mengikut kemahiran dan keupayaan mereka.
Kata beliau, golongan pekerja wajar dihormati kerana mereka merupakan penyumbang terbesar dalam pembangunan negara.
“Seruan saya (kepada para majikan), amalan sombong dan tindas pekerja hendaklah dihapuskan.
“Jangan untung sendirian, berilah (gaji) yang munasabah, bermaruah kepada pekerja.
“Jika ada majikan yang fikir kalau beri kenaikan gaji minimum menjadi bebann, maka sebab itu kita perkenalkan dasar gaji progresif,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Sejak Isnin lalu juga berlangsung Karnival Kerjaya Mega MYFutureJobs @ Hari Pekerja 2025 yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan daripada lebih 150 majikan seluruh negara.
Inisiatif oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
