
SEPANG: Bagi setiap Muslim, perjalanan ke Tanah Suci bukan sekadar perjalanan yang menemukan titik akhirnya di Mekah atau Madinah.
Ia adalah perjalanan hati, sebuah pencarian makna dan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT
Di sebalik jutaan langkah menuju Baitullah, tersimpan harapan untuk pulang sebagai insan yang lebih baik.
Justeru, pengendali pakej haji dan umrah Mahabbaten Travel & Tours Sdn. Bhd. (Mahabbaten) melihat ibadah haji bukan sekadar soal menyempurnakan rukun tetapi turut mengisi perjalanan itu dengan ilmu, bimbingan dan penghayatan agar setiap langkah membawa makna kepada para Dhuyufurrahman.
Pengerusi Eksekutif Mahabbaten, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata, pakej haji yang ditawarkan menekankan pendekatan bimbingan ibadah secara menyeluruh, pengisian ilmu agama serta layanan lebih dekat kepada jemaah.
Beliau berkata, antara pendekatan yang diberi perhatian ialah pengurusan kumpulan jemaah berskala kecil bagi membolehkan bimbingan dan perhatian diberikan secara lebih dekat kepada setiap peserta.
“Kumpulan yang lebih kecil membolehkan pihak pengurusan menyantuni jemaah secara lebih tersusun malah memudahkan komunikasi dan penyampaian ilmu berkaitan ibadah haji.
“Matlamat kami bukan sekadar membawa jemaah menunaikan haji tetapi memastikan mereka memahami ibadah yang dilaksanakan serta mendapat bimbingan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Bahkan, saya sendiri yang akan menyantuni para jemaah sepanjang berada di Mekah dan Madinah kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Ceritera pada Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali ke-5 Pengelola Jemaah Haji (KHUP5) dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama BUMITRA Malaysia di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, di sini hari ini.

Ustaz Don Daniyal menambah, Mahabbaten turut merancang pendekatan persediaan lebih intensif selama kira-kira 15 hari sebelum kemuncak ibadah haji bagi membolehkan pengajian dan pengukuhan ilmu dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan jemaah mempunyai kefahaman yang lebih mantap mengenai tatacara dan penghayatan ibadah haji sebelum memasuki fasa utama pelaksanaannya.
“Selain pengajian haji, Mahabbaten meneruskan tradisi pembacaan dan penghayatan kitab agama sepanjang perjalanan termasuk pengajian hadis yang dilaksanakan pada musim terdahulu.
“Ia berasaskan kepercayaan bahawa perjalanan haji bukan sekadar menyempurnakan tuntutan ibadah malah perlu menjadi ruang untuk mendalami sejarah Islam serta mengenali kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat.
“Penghayatan terhadap sirah Rasulullah SAW dan perjuangan para sahabat diharap dapat menyemai rasa cinta terhadap agama sekali gus mendorong jemaah mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan selepas pulang ke tanah air,” ujarnya.
Dalam aspek penawaran pakej, beliau berkata, Mahabbaten akan memberi penjelasan kepada bakal jemaah mengenai perbezaan harga khususnya apabila melibatkan lokasi penginapan dan jarak perjalanan ke Masjidil Haram.
Katanya, sebarang bayaran tambahan perlu difahami berdasarkan komponen yang ditawarkan, termasuk faktor jarak dan tidak semestinya bermaksud peningkatan dari segi keselesaan penginapan.
“Penerangan itu penting bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan jemaah ketika membuat pilihan pakej mengikut kemampuan masing-masing.
“Pakej haji Mahabbaten terbahagi kepada dua sahaja iaitu Mahabbah Elaf yang ditawarkan pada harga RM49,990 manakala Mahabbah Safwah pula RM59,990,” ujarnya.
Memasuki tahun ketiga pengendalian pakej berlesen bagi musim 2025 hingga 2027, Mahabbaten terus memberi perhatian kepada keperluan jemaa khususnya dari segi pemahaman ibadah, bimbingan sepanjang perjalanan serta persediaan sebelum menunaikan haji.
KHUP5 yang memasuki edisi kelima menjadi platform sehenti menghimpunkan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen yang dilantik TH bagi Musim Haji 1448H/2027M untuk memberikan maklumat dan menawarkan pakej haji, umrah dan pelancongan yang menarik serta kompetitif kepada masyarakat.





