KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh kerjasama tenaga serantau terus digerakkan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43).
Dua mesyuarat penting yang berlangsung hari ini iaitu Mesyuarat Pasukan Petugas Kerjasama Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS ECTF) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN+3 (SOME+3) memberi tumpuan kepada integrasi tenaga boleh baharu, keselamatan tenaga dan mekanisme pembiayaan yang inovatif.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan utama dalam memacu agenda tenaga mampan serantau.
“Malaysia percaya masa depan tenaga ASEAN haruslah bersandarkan kepada prinsip keterangkuman, kemampanan dan keselamatan tenaga. Kerjasama serantau adalah kunci untuk mencapai matlamat ini,” katanya.
Mesyuarat EAS ECTF menghimpunkan negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan sembilan rakan Sidang Kemuncak Asia Timur termasuk Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.
Perbincangan turut memberi penekanan kepada Pelan Tindakan PETRA dan fasa baharu Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030, dengan Malaysia menegaskan perlunya strategi jangka panjang untuk kesalinghubungan rentas sempadan serta pelaburan tenaga boleh baharu.
Sementara itu, dalam Mesyuarat SOME+3, perwakilan dari China, Jepun dan Korea Selatan menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN (APG) dan memperkukuh ekosistem pelaburan tenaga bersih.
“Kami melihat ASEAN sebagai rakan strategik penting dalam membentuk landskap tenaga Asia yang lebih hijau dan berdaya tahan,” kata wakil Jepun yang turut serta dalam sesi tersebut.
Mesyuarat ditutup dengan komitmen bersama untuk menjayakan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN +3 ke-22 (AMEM+3) dan Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Tenaga Asia Timur ke-19 (EAS EMM) yang bakal berlangsung dalam beberapa hari akan datang.
“Kami yakin, pertemuan ini akan menjadi titik tolak kepada era baharu tenaga serantau – berasaskan kerjasama, inovasi dan tanggungjawab bersama terhadap generasi masa depan,” kata wakil Malaysia yang mempengerusikan sesi.
Perbincangan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan mencerminkan kesungguhan kolektif ASEAN untuk mencapai peralihan tenaga yang adil, inklusif dan mampan, demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
