
MANAMA: Timbalan Raja Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa berkata penganjuran Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain oleh Malaysia, dengan perkenan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, mencerminkan hubungan erat dan sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Timbalan Raja Bahrain itu merakamkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas perkenan Seri Paduka Baginda supaya perlumbaan berkenaan diadakan di Malaysia, lapor Agensi Berita Bahrain (BNA).
Putera Salman bin Hamad turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kerjasama beliau dalam penganjuran perlumbaan itu.
Beliau berkata demikian ketika menerima menghadap Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran di Istana Gudaibiya pada Isnin.
Beberapa pegawai kanan turut menghadiri pertemuan itu.
Putera Salman bin Hamad turut mengucapkan terima kasih kepada Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Litar Antarabangsa Bahrain, Litar Antarabangsa Sepang serta pasukan yang mengambil bahagian atas sokongan mereka dalam memastikan peralihan penganjuran perlumbaan itu berjalan lancar.
Beliau menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh kerjasama bagi memperluas peluang yang dapat memajukan kepentingan bersama.
Dalam pertemuan itu, perkembangan terkini serantau dan antarabangsa serta isu berkepentingan bersama turut dibincangkan.
Sementara itu, Shazryll merakamkan penghargaan atas komitmen berterusan Timbalan Raja Bahrain itu dalam memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat kedua-dua negara dan rakyatnya, selain mendoakan agar Bahrain terus mencapai kemajuan dan kemakmuran. – BERNAMA






